Wednesday 11 March 2015

PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA SELEPAS KEMERDEKAAN HINGGA KINI.

Sebelum berlakunya kemerdekaan di Tanah Melayu sistem pendidikan di negara ini masih lagi berpecah dan berlaku perbezaan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia.  Pada masa tersebut wujud lima jenis sistem persekolahan iaitu sekolah agama, sekolah melayu, sekolah cina, sekolah tamil dan sekolah Inggeris.  Manakala lokasi setiap sekolah tersebut terpisah antara satu sama lain, sekolah-sekolah melayu di pertempatkan di desa, sekolah india di ladang, dan sekolah cina di kawasan perlombongan.  Seterusnya bahasa pengantar setiap sekolah juga berbeza.  Jelas hal ini menunjukkan sistem-sistem persekolahan seperti ini menjejaskan perpaduan rakyat di Tanah melayu.  Keadaan ini menunjukkan tidak akan belaku interaksi antara pelajar-pelajar melayu, cina dan india .  Lantaran itu perpaduan tidak dapat dipupuk dalam kalangan pelbagai kaum.  Selain itu,kaum cina dan india hanya dapat berinteraksi apabila masuk ke sekolah Inggeris  manakala kaum melayu tidak terlibat kerana sekolah Inggeris majority dalam kalangan cina dan india.
Dengan itu, dapatlah disimpulkan bahawa semasa sebelum berlakunya merdeka pihak British tidak berminat untuk membangunkan rakyat di Tanah Melayu pada ketika itu, mereka hanya berminat untuk memilik hasil bumi di Tanah melayu.  Selain itu, pihak British juga membiarkan sahaja sekolah-sekolah ini ditubuhkan berdasarkan kurikulum yang pelbagai jenis dan membiarkan wujudkan perbezaan perkauman.  Pihak British juga tidak pernah berusaha untuk mewujudkan satu sistem pendidikan tuggal yang boleh memupuk perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Tanah Melayu.
Tetapi, selepas berlakunya kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 Tanah Melayu dikenali sebagai Malaysia dan turut berlaku perubahan yang besar dalam sistem pendidikan.  Matlamat utama perubahan sistem pendidikan di Malaysia ialah mewujudkan pendemokrasian pendidikan.



2.0  Hala tuju Pendidikan selepas merdeka.
Selepas berlakunya kemerdekaan kerajaan Malaysia menyedari bahawa pendidikan Negara perlu dipertingkatkan agar dapat menaikan nama negara ke mata dunia.  Selain itu bagi menghadapi cabaran globalisasi kerajaan mengorak langkah dengan membentuk kurikulum yang sesuai untuk sistem pendidikan negara.  Perubahan dalam sistem pendidikan negara mengikut peringkat-peringkat perubahan pascamerdeka iaitu era 1957-1970, era 1971-1990, era 1991-2000 dan era 2001-2010.
a)      Era 1957-1970
Semasa era 1957 Ordinan 1957 telah dibentuk bagi memantapkan halatuju pendidikan. Ordinan ini mencakupi peraturan-peraturan pelajaran (disiplin sekolah) 1959.  Perancangan pendidikan dirangka untuk semua kaum dalam masyarakat dan juga meliputi semua aspek perkembangan pendidikan Malaysia.    

Seterusnnya atas kesedaran ingin mengembangkan pendidikan negara kerajaan telah merangka Laporan Rahman Talib,1960 iaitu mencadangkan Bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib selain Bahasa Inggeris.  Kesan dari Laporan Rahman Talib, 1960 telah menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan sebagai bahasa pengantar utama pada semua peringkat pendidikan serta menjadikan kurikulum dan peperiksaan yang sama kepada semua pelajar.   Melalui laporan Rahman Talib 1960 Bahasa melayu di ajar mulai darjah satu  di semua jenis sekolah rendah dan meletakan syarat lulus dalam mata pelajaran bahasa melayu bagi calon-calon ke sekolah menengah dan pusat latihan guru.   Selain itu, kesan dari kesedaran itu kerjaan telah mengambil keputusan dengan memberikan insentif kepada guru-guru supaya mendapat kelulusan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.  Dari hal itu, Akta Pelajaran 1961 telah dibentuk agar mampu melonjakan bidang pendidikan di negara ini.

            Rentetan dari Akta Pelajaran 1961 pada tahun 1962 semua pelajar mendapat pendidikan percuma ia bertujuan untuk membantu semua rakyat yang miskin dan juga rakyat yang kaya kerana semua orang mendapat hak pendidikan.  Seterusnya pada tahun 1964 dasar pendidikan telah memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan hak pendidikan selama 9 tahun dari darjah 1 hingga tingkatan 3.  Lebih-lebih lagi pada masa yang sama Rancangan Malaysia Pertama telah diperkenalkan iaitu pada 1966 hingga 1970 yang mengutamakan kebajikan rakyat dan meningkatkan taraf pendidikan penduduk di kawasan luar bandar terutamanya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah. 

Kesimpulanya, dapat dilihat disini era 1957-1970 lebih kepada penyatuan semua kaum dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran yang wajib diambil oleh pelajar untuk memudahan interaksi antara kaum. Selain itu, dengan adanya Falsafah Pendidikan yang bermatlamatkan sama rata dengan tidak menyisihkan kaum, darjat dan agama dapat membantu dalam meningkatkan lagi perkembangan pendidikan di Malaysia pada masa ini, kesan yang dapat dilihat pada era ini menunjukkan bahawa pendidikan pada masa ini membawa kepada anjakan paradigma yang proaktif dalam sistem pendidikan.

b)      Era 1971-1990
Pada masa ini dikenali sebagai zaman ekonomi baru iaitu kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) selepas berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.  Rentetan dari peristiwa ini  telah memberikan impak yang besar pada sistem pendidikan.  Oleh itu, kerajaan telah meningkatkan usaha untuk mengurangkan jurang sosio-ekonomi antara kaum.  Disamping itu, bagi mengelakkan kecelaruan antara kaum Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dan kerajaan membuat semakan terhadap Dasar Pelajaran Kebangsaan 1979 dan membuat pembaharuan bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Seterusnya usaha kerajaan bagi meningkatkan pendidikan negara telah banyak memberi kesan kepada rakyat yang tidak berkemampuan.  Hal ini kerana kebajikan golongan miskin dalam pendidikan ditingkatkan lagi dengan melaksanakan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). Selain itu, kerajaan juga melaksanakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bertujuan untuk membantu golongan pelajar yang kurang berkemampuan mendapat makanan seimbang.  Usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak meninggalkan golongan miskin.

Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) telah diperkenalkan pada tahun 1982 sebagai peringkat percubaan.  Kemudian diteruskan dengan melaksanakan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1988 apabila murid yang berada dalam KBSR masuk ke sekolah menengah.  Melalui KBSR sistem pendidikan Negara dibaik pulih dengan adanya komponen-kompenen yang terdapat dalam KBSR seperti kemahiran 3M, kemahiran berfikir, nilai merentas kurikulum, patriotisme, Bahasa Melayu merentas Kurikulum.  KBSR lebih kepada perkembangan individu murid-murid digalakan untuk mengambil muzik, lukisan dan aktiviti-aktiviti penulisan.  Oleh itu, satu kajian tentang penilaian pencapaian KBSR ini telah dijalankan oleh Kementerian Pendidikan dengan Universiti Sains Malaysia pada tahun 1982. Laporan Fasa I (1988) kajian tersebut menunjukkan bahawa taraf penguasaan murid-murid dalam 3M ini adalah lebih tinggi apabila dibandingkan dengan murid-murid yang mengikuti kurikulum lama. Murid-murid KBSR berjaya menguasai kemahiran belajar seperti menyoal, berbincang dan mengeluarkan pendapat . Sebilangan besar murid juga telah menguasai kemahiran belajar yang lebih kompleks lagi seperti memberikan idea.

 Walau bagaimanapun kesan KBSR ini kepada guru ialah ketidaksediaan guru untuk menghadapinya.  Kebanyakan guru dibawah KBSR dibebani dengan tugasan yang berat kerana terpaksa mengendalikan bilik darjah yang besar dan mempunyai 40 orang murid. Selain itu, guru-guru juga telibat dalam penyimpanan rekod dan akhirnya guru-guru hanya mementingkan fail-fail sebelum murid-murid.  Keadaan ini telah membawa impak sampai ke hari ini dimana guru-guru dibebani dengan sistem fail yang berbagai-bagai. 

Kemudian dalam era ini juga Falsafah Pendidikan Negara (FPN) telah diperkenalkan lebih kearah membentuk modal insan dan menjadikan rakyat Malaysia warganegara baik dengan menjadikan insan yang percaya dan patuh kepada tuhan, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, serta memiliki sahsiah seimbang dan sepadu sepertimana apa yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara pada tahun 1987.  Kesan dari FPN yang telah diperkenalkan sistem pendidikan negara lebih nampak jelas sehingga sekarang kerana hala tuju pendidikan kebanyakannya merujuk kepada FPN iaitu lebih ke arah untuk melahirkan insan yang cemerlang dari segi Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial (JERIS).  Melalui penambahbaikan yang dijalankan mengakibatkan sistem pendidikan di negara kita semakin hari semakin bersistematik. Dengan adanya FPN matlamat untuk menjadikan negara di Malaysia makmur dan masyarakat majmuk yang sejagat dapat direalisasikan. 

c)       Era 1991-2000
Pada era 90an ini memperlihatkan Negara telah melangkah ke era pembangunan yang pesat bagi memastikan Negara mencapai kemajuan Negara dengan terancang iaitu melalui RMK6 dari tahun 1991-1995 dan RMK7 1996-2000.  Oleh itu kerajaan juga telah memperkenalkan Dasar Pembangunan Negara yang mempunyai pengetahuan tentang tujuan, rasional, konsep, perlaksanaan dan kesan-kesan pembangunanan melalui Dasar Pembangunan Nasional, Dasar bersih,cekap dan amanah dan pelan integrati Nasional.

Dasar Pembangunan Nasional DPN menetapkan satu langkah ke arah membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju dalam semua segi iaitu dari segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan pentadbiran kerajaan, dan kecemerlangan ekonomi.  Manakala Dasar bersih cekap dan amanah pula adalah bertujuan untuk Bagi mewujudkan satu etika kerja dan sikap berkhidmat yang baru bagi rakyat Malaysia dengan memberi keutamaan kepada peningkat hasil (productivity) dan mutu kerja.  Seterusnya Pelan Integrasi Nasional (PIN) bertujuan untuk menanam dan memupuk budaya etika dan integriti di kalangan semua lapisan masyarakat Malaysia

Seterusnya pada tahun 1992 kerajaan telah memperkenalkan pendidikan umum selama 11 tahun iaitu setiap daripada rakyat Malaysia diwajibkan untuk mengikuti sesi persekolahan bermula dari tahun 1 sehinggalah ke tingkatan 5.  Kemudia kerajaan telah memurnikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.  Ia mampu untuk meningkatkan hala tuju pendidikan di masa akan datang.

Selain itu, pada era ini dapat diperlihatkan perubahan yang pesat dalam pembangunan dunia pendidikan melalui falsafah dan hala tuju pendidikan Negara.  Kerajaan juga telah meningkatkan perundangan bagi melancarkan pembangunan pendidikan melalui penggubalan undang-undang dan Pindaan Akta contohnya seperti Akta Pelajaran 1961 dengan mengantikan kepada Akta Pendidikan Tinggi Negara 1996  iaitu membolehkan penubuhan sebuah majlis yang bertujuan untuk menentukan dasar dan menyelaraskan pebangunan Pendidikan Tinggi. Mewujudkan Akta Lembaga Akredasi Negara (LAN) 1996 bagi memastikan tahap pendidikan dengan jaminan kualiti tinggi dan kawalan mutu pendidikan terpelihara dalam pendidikan swasta. Seterusnya Akta PTPTN (Pindaan 2000) iaitu membenarkan pinjaman kepada pelajar di Institut Pengajian Tinggi dan swasta.

Kesimpulanya, pada era ini dapat dilihat disini pembangunan negara banyak mengalami perubahan bagi mencapai hala tuju pendidikan agar lebih cemerlang dan tebilang di masa hadapan.
   
d)      Era 2001-2012
Pada abad ini pembangunan pendidikan negara mengalami trasformasi yang banyak untuk menghadapi cabaran globalisasi iaitu menghadapi dunia tanpa sempadan telah menyebabkan Malaysia mesti mewujudkan strategi untuk pembangunan pendidikan dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.  Kerajaan telah membuat penambahbaikan bagi meneliti semula projek dan program yang telah dirancang bagi mencapai apa yang terkandung dalam Falsafah Negara iaitu untuk melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan dalam bidang teknologi dan berkemahiran serta berakhlak mulia. Banyak perubahan yang dilakukan oleh kerajaan bagi meningkatkan pembangunan dalam pendidikan pada abad ke-21 ini dan juga memperhebatkan perundangan, dasar dan program utama ia memberikan impak yang besar kepada Negara antaranya seperti berikut:-

i.                  Pada tahun 2003, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris  (PPSMI) diperkenalkan (Keputusan Jemaah Menteri, 2002) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) turut diperkenalkan.  Walau bagaimanapun perlaksanaannya tidak dapat menunjukkan hasil yang memberangsangkan apabila Laporan Trends in Mathematics Science Study (TIMSS) tahun 2007 menunjukkan bahawa pencapaian murid Malaysia merosot dari tempat ke10 pada tahun 2003 ke 20 manakala bagi Matematik dan mata pelajaran Sains dari tempat ke 20 pada tahun 2003 ke 21 pada tahun 2007.  Kemudian berlaku jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semasa perlaksanaan PPSMI.  Rentetan dari itu kerajaan telah memansuhkan PPSMI dan digantikan dengan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).  Dengan perlaksanaan MBMMBI ini dapat dilihat akan usaha kerajaan untuk memartabatkan semula bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan dan  bahasa hubungan utama selaras dengan perkara yang termaktub dalam perkara 152, Perlembagaan Malaysia dan juga Akta Pendidikan 1996 yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

ii.                Program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005 dan diperluaskan pada tahun 2006 bagi memastikan murid Islam menguasai Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain apabila tamat sekolah rendah (Keputusan Jemaah Menteri, 2003).     Melalui j-Qaf ini dapat dilihat ia adalah salah satu usaha kerajaan bagi meningkatkan kembali huruf jawi yang telah hilang lapuk dek zaman. 

iii.               Pada tahun 2006 aktiviti kokurikulum diperbaiki dengan penambahan peruntukan per kapita pelajar daripada RM2.50 kepada RM10 untuk sekolah rendah dan RM12 untuk sekolah menengah (Keputusan Jemaah Menteri, 2005). Di samping itu, aktiviti kokurikulum dijadikan syarat kelayakan ke IPTA mulai 2006 (Keputusan Jemaah Menteri, 2005)
Pada era ini juga, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP) diperkenalkan untuk memartabatkan hala tuju dan falsafah pendidikan di negara Malaysia. Antara yang termaktub dalam PIPP ialah berdasarkan kepada enam teras iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Pada peringkat ini hala tuju pendidikan negara lebih bersifat untuk melahirkan masyarakat yang mampu bersaing di peringkat global berdasarkan kepada falsafah pendidikan yang dicanangkan dalam sistem pendidikan di Malaysia.
            Keberkensanan PIPP  telah diakui oleh Delegasi Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-179 terutama bagi mengurangkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar.  Bersesuaianlah dengan matlamat Negara iaitu meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

Demi menghadapi cabaran wawasan 2020 iaitu untuk mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur.  Oleh itu, rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara  dan demi mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif. Kerajaan telah mewujudkan sekolah wawasan untuk meningkatkan perpaduan.  Kemudian kerajaan menubuhkan Sekolah Bestari dan Kluster  pada tahun 2010 bertujuan untuk melatih pelajar-pelajar pandai dalam teknologi terkini untuk melahirkan generasi yang mampu menghadapi wawasan 2020.  Walau bagaimanapun kejayaan dalam penubuhan Sekolah Bestari ini masih tidak kesampaian di seluruh negara kerana hanya berjaya dilaksanakan di beberapa kawasan sahaja.

            Kemudian, kerajaan menukar KBSR kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).  Penubuhan KSSR adalah berhasrat  untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif melalui tunjang-tunjang komunikasi, sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan estetika, keterampilan diri,  kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan  Dasar Pendidikan Kebangsaan.  KSSR mengambil kira cabaran abad ke-21, Model Baru Ekonomi (MBE) dan teori pembelajaran terkini. KSSR juga mengguna pakai empat tonggak pendidikan UNESCO, iaitu belajar untuk mengetahui (learning to know), belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup bersama (learning to live together) dan belajar untuk membentuk peribadi (learning to be).  Impak kepada perubahan ini hanya akan dilihat di masa hadapan.  Apa yang perlu dilakukan sekarang guru-guru mestilah lebih bersedia untuk menghadapi perubahan ini.  Selain itu, guru-guru perlu meningkatkan daya kreativiti dan inovasi masing-masing demi menghadapi perubahan kurikulum dan menghadapi dunia globalisasi untuk cabaran wawasan 2020.


3.0 KESIMPULAN
Kesimpulanya, sistem pendidikan di Malaysia banyak berlaku perubahan dari semasa ke semasa.  Pelbagai usaha kerajaan demi menghadapi 9 cabaran wawasan 2020 dan demi menghadapi dunia globalisasi.  Selain itu, biarpun kerajaan menjalankan pelbagai usaha peranan Falsafah Negara sebagai tunggak dasar pendidikan dan  tidak pernah lupakan.  Oleh itu, banyak impak yang diperolehi kesandari pembangunan dan peningkatan mutu pendidikan sama ada ia bersifat positif atau sebalik.  Walau bagaimanapun ia adalah satu usaha kerajaan demi memantapkan sistempendidikan agar negara Malaysia mampu bersaing dengan negara-negara maju dan juga negara yang membangun.  Oleh itu, pelbagai pihak perlu mengambil peranan dan saling bekerjasama dalam memantapkan lagi sistem pendidikan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah pendidikan Guru khususnya bagi para guru kerana guru-guru merupakan tonggak utama sebuah sistem pendidikan itu berjalan dengan lancar.

SOALAN 2:-

BINCANGKAN IMPLIKASI FALAFAH PENDIDIKAN ISLAM, BARAT DAN TIMUR TERHADAP PEMBENTUKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN DAN FALSAFAH PENDIDIKAN GURU.

Akta Pendidikan 1961 di Malaysia telah menetapkan polisi-polisi pendidikan yang digunakan hampir 3 dekad lamanya sebelum dipinda pada tahun 1996 dan buat pertama kalinya menetapkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebelumnya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara. 
“ Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembang lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”
Falsafah Pendidikan adalah salah satu usaha kerajaan untuk menghasilkan warganegara yang berpengetahuan dan berkebolehan.  Seterusnya mempunyai nilai moral yang tinggi dan boleh mencapai kejayaan kepada diri sendiri dan masyarakat.  Bagi mencapai aspirasi ini karajaan telah berusahan bersungguh-sungguh agar perlaksaannya berjalan dengan lancar. 
Selain itu, Falsafah Pendidikan Guru adalah berfungsi untuk membina guru-guru yang mulia sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang meninginkan insan yang seimbang dan harmoni.  Kedua-dua falsafah ini bertanggungjawab terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia.  Sebagai seorang guru menjadi satu tanggungjawab agar merealisasikan pendidikan negara agar dapat menghadapi wawasan 2020.
Menerusi Falsafah pendidikan yang ia sebenarnya diambil kira melalui pelbagai aspek untuk menghasilkan masyarakat yang maju, bertamadun, berdaya saing dan tahan dengan ujian tidak kiralah ujian dari segi emosi dan jasmani.  Kita tidak mahu kelak dimasa hadapan negara melahirkan masyarakat yang tidak mempunyai akhlak yang baik biarpun memperolehi kejayaan tetapi sekiranya tidak memiliki akhlak yang baik maka sesuatu tamadun itu akan hancur seperi mana yang berlaku pada zaman kegelapan di Tanah Arab ketika dahulu.   Kejayaan dan juga akhlak kedua-duanya adalah sama penting bagi melahirkan generasi baru yang berkemahiran, berilmu, bersepadu dari segi amalan dan dihormati oleh semua orang sekalipun masyarakat dunia.
a)    Implikasi falsafah pendidikan islam
Terdapat implikasi dalam pembentukan falsafah pendidikan adalah dari falsafah pendidikan islam, barat dan timur.  Antaranya yang dapat dilihat ialah terdapat unsur-unsur agama dan ketuhanan menerusi Falsafah Pendidikan Islam iaitu agar bangsa Malaysia mempunyai sifat keagamaan yang kuat serta mempunyai jati diri yang tinggi jika dibandingkan dengan masyarakat barat khasnya.  Selain itu dapat dilihat Falsafah Pendidikan Negara diambil dari ideology Falsafah Pendidikan Islam Terbentuk dengan jelas seperti mengaitkan dengan teori menyepadukan elemen roh, jasad dan akal dalam menghasilkan manusia yang mempunyai keseimbangan emosi yang kukuh dalam pembentukan sistem pendidikan negara.
Dalam masyarakat moden dan manusia mula bergerak pantas begitu juga dengan pembangunan.  Oleh itu, unsur-unsur ilmu dan juga perkara yang berkaitan dengan agama tidak boleh diabaikan.  Ia banyak memberikan kekuatan dan pertunjuk kepada sesiapa sahaja. Menurut tokoh-tokoh islam ilmu mestilah bertujuan kepada kerohanian dan manusia harus menyembah tuhan dan yakin akan diri sendiri (Tajul Ariffin & Aini,1992).  Kepentingan ilmu dan hubungan dengan kepercayaan kepada tuhan sebenarnya tercatat dalam falsafah tersebut. Selain itu, dalam falsafah islam juga menekankan nilai-nilai murni dalam kehidupan begitulah juga apa yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan menekankan melahirkan insan yang seimbang. 

b)   Implikasi Falsafah Pendidikan Barat
Falsafah Pendidikan Barat juga memberi implikasi terhadap pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Melalui falsafah pendidikan dapat dilihat dalam dua bahagian Iaitu tradisional dan moden.  Ia menekankan aspek Pererialisme dan Esensisalisme.  Maksud pererial ialah tidak berubah atau lebih jelas sesuatu yang tidak berubah iaitu berkonsepkan ciri-ciri semulajadi manusia yang bersifat sejagat dan tidak berubah.  Seperti mana yang terdapat dalam falsafah pendidikan ialah mengajar pengetahuan dan nilai yang bersifat sejagat, abadi dan tidak mempunyai had masa. Lebih tertumpu kepada potensi dan rasional inidividu, lebih pasif, menekankan agama melebihi sains, serta melatih 3M dan kemahiran meningkatkan kemahiran mental dan menaakul.  Manakala Esensesilisme pula berkonsepkan menumpukan perkara-perkara asas sahaja dan perkara ini boleh berubah dari semasa ke semasa serta bersifat praktikal dan pragmatik.
Menerusi matlamat pendidikan pula, pengajaran maklumat lebih kepada berbentuk fakta yang perlu dipelajari, dihayati dan disimpan oleh murid-murid sebagai penghayatan budaya. Lebih kepada penumpuan terhadap inovasi kurikulum sekolah dengan perancangan yang rapi dan guru memainkan peranan utama, memberi latihan intelek dan mental seterusnya menerapkan 3M dan nilai kemasyarakatan ditekankan.
Selain itu, terdapat juga cebisan Falsafah Pendidikan yang mengambil kira ahli pendidik dan falsafah pendidikan yang terkenal dari Amerika Syarikat pada abad ke20 iaitu John Dewey iaitu membawa kepada fahaman pramatisme dengan mengatakan tujuan pendidikan ialah untuk melahirkan individu yang menyeluruh. Ia menjadi salah satu elemen yang penting dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan manusia yang holistik dari segi Jasmani, Emosi,Rohani, intelek dan sosial.
c)    Implikasi Falsafah Pendidikan Timur
Seterusnya implikasi Falsafah Pendidikan Timur iaitu berasaskan falsafah cina dan india. Menerusi falsafah timur lebih menekankan kepada aspek intelek dan rohani sahaja.  Penekanan tidak diberikan kepada unsur jasmani seperti mana di Malaysia. Di Malaysia pendidikan jasmani dan kesihatan diberi penekanan dan juga merupakan salah satu mata pelajaran di sekolah. Selain itu, pelajar juga diwajibkan untuk menyertai sukan dan permainan pada peringkat sekolah, daerah dan negara.  Melaluinya pelajar akan memperolehi kesihatan dari segi fizikal dan mental serta dapat menyumbang sesuatu kepada negara.  Walau bagaimanapun tidak banyak sekolah tidak mengikut seperti mana yang disarankan oleh kerajaan.  Kebiasaannya mata pelajaran ini diabaikan oleh kebanyakan sekolah dan ada juga yang tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.  Keadaan ini akan menyebabkan apa yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan tidak dapat dicapai.
Menurut Conficius dalam Falsafah Pendidikan Conficius pendidikan adalah untuk semua dengan tidak mengira status sosio ekonomi atau kedudukan sosial seperti yang disarankan oleh pendidikan negara.  Menerusi sistem pendidikan negara semua orang berhak untuk mendapat pendidikan tidak kiralah golongan miskin mahupun kaya dan tidak diabaikan juga mereka yang berkeupayaan khas.  Dewasa ini banyak sekolah Pendidikan Khas telah dibina untuk memberikan pendidikan yang sama kepada semua Orang Kelainan Upaya (OKU) supaya merekan dapat berdikari di masa akan datang bagi menghadapi dunia globalisasi dan cabaran wawasan 2020 serta tidak disisih.
Kesimpulanya, sekalipun terdapat banyak implikasi terhadap falsafah pendidikan timur, islam dan barat perkembangan pendidikan dari segi positif mahupun negatif.  Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya saling bekerjasama dan berganding bahu antara satu sama lain demi merealisasikan falsafah pendidikan kebangsaan dan falsafah pendidikan guru.  Guru-guru hendaklah sentiasa mewujudkan akauntabiliti dan integrity dalam diri dan masyarakat demi melahirkan insane yang berilmu pengetahuan, bertanggungjawab, inovatif, kreatif, progresif dan berakhlak mulia selaras dengan falsafah pendidika kebangsaan dan guru bagi bertanding dengan dunia globalisasi.

SOALAN 3
TULISKAN SATU REFLEKSI BERHUBUNG DENGAN AMALAN PROFESIONALISME GURU DALAM PEMBENTUKAN MODAL INSAN DENGAN KEHENDAK FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN DAN FALSAFAH PENDIDIKAN GURU.                                                                                                               
1.0  Pendahuluan
Matlamat utama pendidikan dimalaysia ialah untuk menampung keperluan tenaga kerja dan  mencapai perpaduan negara melaui perkembangan individu yang bersepadu dan mneyeluruh dari segi jasmani,emosi, intelek, dan rohani selaras dengan apa yang terkandung dalam Falsafah pendidikan Kebangsaan. Sebagai menyempurnakan matlamat ini para guru diamanahkan untuk memikul tanggungjawab ini sebagai pendidik bukan sahaja dari segi penyebaran ilmu malahan dalam membentuk sahsiah anak didiknya.  Selain itu, melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak tinggi dapat mewujudkan bangsa yang bertamadun. 
Apabila FPK dihayati guru harus sedar bahawa mereka sebenarnya memikul tanggungjawab yang amat besar.  Guru perlu mencurah ilmu sama ada pelajarnya tidak menunjukkan minat atau sebaliknya.  Selain itu, peranan guru juga haruslah peka dalam isu-isu semasa dan menyesuaikan diri dengan bijak bagi menangani masalah pengajaran dan pembelajaran (P&P) terutama sekali dalam pembentukan disiplin pelajar.   Untuk menjadi seorang guru yang profesinal, seseorang guru itu harus menekankan tiga aspek penting dalam diri iaitu kepakaran, pengetahuan dan pembentukan sahsiah (Robiah,1996).  Menjadi seorang guru kita bukan sahaja mempunyai kemahiran mengajar dan mengembangkan ilmu tetapi sikap, tingkah laku dan disiplin diri haruslah dibentuk kea rah profesionalisme.  Guru merupakan model bagi seseorang murid itu, menurut Albert Badura (1977) dalam teori sosialnya  proses mengamati dan meniru perlakuan dan sikap orang lain sebagai model merupakan tindakan belajar.
Kementerian Pendidikan telah berusaha sejak dari zaman selepas merdeka bagi meningkatkan mutu pendidikan Negara begitu juga bagi memartabatkan profesion pendidikan guru dengan menjadikan guru sebagai salah satu kerjaya yang professional. Menurut Laporan Suruhanjaya Diraja Mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat (Laporan Aziz, 1997) telah mencadangkan diadakan Etika Profesion Perguruan (EPP) bagi pembentukan tatasusila guru.  Semua guru yang telah memiliki sijil perguruan hendaklah mematuhinya.  Namun begitu sehingga kehari ini masih lagi terdapat berita-berita yang tidak menyenangkan yang memaparkan tentang etika seorang guru. 
Pengamalan EPP dalam kalangan guru adalah penting bagi menjamin profesion perguruan sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat.  Kejayaan dan pencapaian matlamat pendidikan berkait rapat dengan kesedaran guru itu sendiri.
2.0  Guru sebagai pembentuk modal Insan
Secara umumnya semua orang sudah mengetahui tempat awal untuk menghasilkan modal insan yang diharapkan oleh sekolah mahupun negara adalah bermula dari sekolah. Disebabkan itulah tugas seorang guru bukan sahaja mendidik malahan tugas mereka lebih dari itu iaitu membentuk modal insan dalam kalangan pelajar-pelajarnya.  Pelbagai langkah telah dilakukan oleh para guru ini bagi mencapai matlamat FPK agar menjadi modal insan yang diharapkan.  Peranan seorang guru di sesebuah sekolah itu amat penting terutama dari segi pencapaian aspirasi dan matlamat negara dalam konteks dunia sekarang salah satu aspirasi tersebut ialah melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi. 
Oleh itu kepentingan peranan guru di Malaysia ialah memastikan anak didik mereka cemerlang dalam bidang akademik.  Hal ini dapat dilihat menerusi langkah-langkah pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas.  Oleh itu, segala pengajaran dan pembelajaran guru hendaklah mencapai objektif yang dirancang, kemudian penyusunan dan langkah ketika menyampaikan isi kandungan, pemilihan bahan bantu mengajar, media pengajaran dan pemilihan tajuk hendaklah semuanya jelas dan teratur.  Pengalaman sebagai seorang guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di kebanyakan sekolah yang pernah bertugas didapati guru-guru tidak mengambil peduli tentang penyusunan proses pengajaran dan pembelajaran mereka dengan baik.  Menurut mereka asalkan dapat menghabiskan silibus ia sudah cukup dilakukan tidak kiralah murid itu faham atau tidak asalkan pada hujung tahun mereka sudah menghabiskan semua tajuk.  Apabila murid-murid mengambil peperiksaan dan didapati mereka tidak lulus mereka menyalahkan murid-murid kerana tidak mahu belajar walhal masalah adalah berpunca dari guru-guru tersebut kerana tidak menjalankan tugas yang diamanahkan serta sambil lewa tanpa memikirkan kepentingan mereka dalam membentuk modal insan.  Selain itu, guru-guru juga haruslah memastikan selepas habis proses pengajaran dan pembelajaran mereka haruslah peka dengan menerapkan nilai-nilai murni.  Secara tidak langsung murid-murid akan memantapkan kekuatan dan membela kemuliaan maruah diri dan membentuk akhlak mereka dengan baik.  Guru merupakan super model untuk seorang murid-murid oleh itu seorang guru itu hendaklah sentiasa memberi kata nasihat dan bimbingan serta motivasi kepada murid-murid.  Dapat dilihat disini kecemerlangan akademik memainkan peranan penting dalam pembentukan jati diri yang dianggap penting dalam melahirkan modal insan.  Melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang mereka ikuti mereka akan menjadi insan yang berdisiplin, bermoral, berpegang kepada nilai-nilai murni yang diterapkan oleh guru.  Menjadi akauntabiliti guru untuk memastikan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran guru difahami oleh anak didik mereka.  Guru juga haruslah memastikan tahap kecerdasan murid-murid dan juga perbezaan individu dalam kalangan murid-murid mereka supaya mereka dapat mengetahui bentuk proses pengajaran dan pembelajaran yang akan mereka laksanakan di dalam kelas. Supaya tidak berlaku ketiakadilan guru dalam memberikan ilmu kepada anak murid mereka.
Guru juga mestilah membantu murid-murid cemerlang dalam kokurikulum bagi menyediakan pendidikan yang holistic dari segi perkembangan kemahiran sosial murid dan mempereratkan interaksi dan integrasi dalam kalangan murid-murid.  Oleh itu, peranan guru adalah menjadi satu tanggungjawab untuk menggalakan murid-murid melibatkan diri dengan aktif dalam aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan disekolah.  Apabila murid-murid melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum mereka akan dapat banyak perkara yang akan dipelajari misalnya berkaitan dengan kepimpinan, bekerjasama, berdaya saing, berfikiran kreatif, berfikiran kritis, berdaya tahan, berdisiplin, menngkatkan jati diri, meningkatkan integriti dalam diri, bertanggungjawab, amanah, ikhlas, menepati masa, bersatu padu dan sebagainya bagi melengkapkan diri dalam meningkatkan modal insan yang diharapkan oleh negara. 
Oleh itu dalam memainkan peranan penting seorang guru dalam melaksanakanya ialah dengan menjadi penasihat kepada beberapa kelab dan persatuan di sekolah.  Guru tersebut hendaklah mengambil kesempatan ini untuk memastikan bahawa murid-murid ini memperlajari sesuatu perkara yang baik dan bermanfaat apabila mereka menceburi diri secara aktif dalam bidang kokurikulum dan menjadi modal insan yang diharapkan.  Peranan guru seterusnya ialah berusaha memperkembangkan lagi keupayaan mereka dalam meningkatkan daya kreatif dan inovasi murid-murid supaya menjadi lebih positif dan progresif.  Misalnya guru kemahiran hidup di sekolah melalui mata pelajaran reka cipta guru menubuhkan persatuan reka cipta dan mewujudkan pertandingan reka cipta yang inovasi berasaskan bahan kitar semula.  Guru sebagai penasihat dan murid-murid menerahui persatuan dengan mengutamakan kerjasama dalam kalangan ahli kumpulan.  Secara tidak langsung mereka belajar tentang ciri-ciri kepimpinan, nilai-nilai murni dan sebagainya. Semua ini akan membentuk mereka menjadi modal insan yang diharapkan.
Selain kecemerlangan kokurikulum dan kurikulum menjadi tanggungjawab guru dalam memartabatkan profesionalisme guru dengan menerapkan nilai-nilai keagamaan dalam kalangan murid atau modal insan secara langsung. Nilai-nilai agama ini mempunyai kepentingan dalam membentuk modal insan yang diharapkan.  Hal ini kerana jati diri dan maruah sesuatu bangsa tidak akan berlaku sekiranya tidak wujud kesepaduan dalam kalangan murid-murid.  Penerapan keagamaan ini boleh diterapkan semasa menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran terutama dalam pembentukan akidah murid-murid. Dengan akidah yang kental, murid-murid akan menjadi modal insan yang kuat dari segi rohani dan jasmani.  Langkah-langkah menyemai nilai-nilai keagamaan ini adalah menerusi mata pelajaran wajib seperti pendidikan islam dan pendidikan moral.
Menjadi tanggungjawab guru untuk melengkapkan murid-murid dengan kemahiran informasi dan teknologi maklumat di sekolah agar melahirkan masyarakat yang celik IT serta mampu bersaing dengan dunia globalisasi dan dapat mengharungi wawasan 2020 sejajar dengan matlamat falsafah Pendidikan Kebangsaan.   oleh itu, langkah yang seharusnya dilakukan oleh guru ialah bergiat aktif dalam menyampaikan ilmu kepada murid-murid dengan meningkatkan kefahaman dalam penyampaian berpaksikan kemahiran dalam teknologi maklumat demi membentuk modal insan yang diharapkan.  Sebenarnya apabila suatu hari nanti berlaku kajian soal selidik mengenai celik IT dalam kalangan guru-guru akan didapati adanya guru yang tidak tahu langsung mengenai komputer. Mereka bukan sahaja tidak mahu belajar untuk membaiki diri malahan mereka menganggap itu sesuatu yang tidak penting berdasarkan pengalaman menjadi guru ganti ada sesetengah guru apabila diminta untuk mengemaskini data murid dalam komputer mereka akan meminta guru-guru yang lebih muda dari mereka untuk melakukannya.  Oleh itu, sebagai seorang guru menjadi tanggungjawab guru untuk meningkatkan martabat guru seiring dengan pembangunan negara. 

3.0  KESIMPULAN
Profesion perguruan di zaman serba moden ini haruslah mampu untuk bersaing, menguasai dan mengabungkan kemahiran-kemahiran yang berkaitan demi melahirkan satu bentuk pendidikan yang lebih bermakna untuk masa hadapan dan demi menghadapi dunia globalisasi serta menuju wawasan 2020. Guru-guru juga haris sedar bahawa perkhidmatan perguruan mempengaruhi negara dan rakyatnya, guru-guru mesti berusaha untuk mengekalkan dan memperbaiki piawaian profesional dan mencapai matlamat yang menarik orang lain ke kerjaya pendidikan.  Guru-guru hendaklah menerapkan akauntabiliti yang tinggi dalam diri masing-masing dan mengetahui akan Kod Etika Profesion Perguruan dengan berpegang kepada prinsip-prinsip kemuliaan kehormatan, integriti, mengambil berat perasaan orang lain dan keadilan demi melahirkan seorang murid yang berfikiran kreatif, kritis dan inovatif serta seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti mana yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru.  Akhir sekali, pendidikan yang bertaraf dunia seiring dengan generasi yang mengamalkan budaya fikir, kritis, kreatif dan inovatif.  Diharapkan guru sebagai pemangkin kecemerlangan dapat merealisasikan sepenuhnya menjelang 2020 nanti.

5 comments: